tajuk: Laut Lebih Indah Dari Bulan (antologi skrip teater)
penulis: Namron
penerbit: Merpati
Jingga
harga: RM15
muka surat: 82
halaman
blurb:
Lembu
merupakan kisah cinta yang sangat biasa, seolah-olah sebuah drama yang sudah
klise. Nam Ron menjadikan kisah cintanya ini lain daripada yang lain, kerana
cinta itu terhalang akibat perbezaan pegangan politik ahli keluarga
teruna-dara. Apa yang lebih menarik, Nam Ron mengambil pendekatan komedi,
dengan mengenengahkan peristiwa kehilangan seekor lembu yang sepatutnya menjadi
korban untuk meraikan kedatangan seorang pemimpin. Dalam pada itu, beliau ketara
menyuntik dan menjentik hal-hal yang dirasakan mengganggu fikirannya.
Proses
mengangkat masalah sosial yang sejak berkurun sudah mewarisi kehidupan
masyarakat Melayu: kemiskinan dan tidak berpendidikan. Situasi ini diburukkan
lagi dengan sikap sesetengah orang Melayu sendiri yang tidak begitu cerdik
untuk mengatur kehidupan. Memberhentikan anak daripada persekolahan dan
mengahwinkannya dalam usia muda jelas merosakkan terus masa depan anak itu.
Matderihkolaperlih
sebagai sebuah monodrama, mengambil pendekatan penceritaan dari sudut pandangan
beberapa watak. Selain Derih sendiri, cerita juga disampaikan oleh watak
rakannya, Solleh dan Wati. Kisah watak ‘budak’ nelayan dari Kuala Perlis yang
bertukar menjadi gedebe yang mengutip duit perlindungan, menjadi tauke Song di
Padang Besar, hingga akhirnya bertukar menjadi ahli politik. Detik paling
menarik dalam riwayat Matderih ini ialah apabila dia menembak lelaki yang cuba
memperkosa Wati dan didapati lelaki itu ialah ayahnya sendiri, yang dicari-cari
selama ini. Ini adalah sisi gelap kehidupan ‘seorang Matderih’ yang cuba
diperlihatkan oleh Nam Ron, sebagai analogi kepada kehidupan manusia yang
memungkinkan segala-galanya, di sebalik takdir.
Aku Nak Jadi Bintang
mengungkapkan kisah seorang gadis desa dengan impian besarnya untuk menjadi
bintang – sebagai artis yang hidup penuh glamor. Bagaimanapun dia terjebak
dengan Alex yang menjadikannya “bintang” lain. Si gadis mula mengenali segala
macam lelaki yang berjanji untuk menjadikannya bintang. Gadis lalu melayani
kesemua mereka. Akhirnya dia bertemu dengan Johan yang bekerja dalam bidang
perfileman dan gadis sangat meyakininya. Dan dia menyerah kepada Johan. Hingga
akhirnya dia terbabit dalam perlakuan dan aksi yang membawa kepada tragedi.
Laut lebih Indah dari Bulan
semacam sekuel kepada Aku Nak Jadi Bintang, mengambil premis daripada satu
peristiwa yang pernah berlaku dan menggemparkan negara tidak berapa lama
dahulu. Kalau Aku Nak Jadi Bintang merupakan monolog atau penceritaan oleh
gadis yang mahu menjadi ‘bintang” itu, Laut... memilih pendekatan penceritaan
dari sudut pandangan isteri kepada lelaki yang menghadapi tuduhan sebagai
pembunuh (Johan dalam Aku Nak Jadi Bintang?). Si isteri (Bulan) yang sangat
setia dan percaya pada suaminya (Laut) itu sangat sukar untuk mempercayai
kecurangan pasangannya, sehinggalah dia menemui bukti-bukti yang nyata.