Sunday, May 12, 2013

REFORMASI PENDIDIKAN III: PENDIDIKAN SIVIK UNTUK PENYUBURAN DEMOKRASI


tajuk: Reformasi Pendidikan III: Pendidikan Sivik Untuk Penyuburan Demokrasi

penulis: Sri Murniati dan Al-Mustaqeem M Radhi

penerbit: Institut Kajian Dasar
dengan kerjasama: Konrad Adenauer Stiftung

harga: RM22

muka surat: 146 halaman

blurb:

Demokrasi memerlukan warganegara yang celik politik. Pendidikan sivik dan kewarganegaraan di sekolah adalah salah satu cara untuk melahirkan rakyat yang berkemampuan untuk memikul cabaran demokrasi dan pembinaan negara.

Tetapi apakah matapelajaran sivik dan kewarganegaraan yang diajarkan di sekolah-sekolah menengah di Malaysia telah dirumuskan dengan baik untuk memenuhi cabaran ini? Apakah pengetahuan dan keterampilan yang sekarang didedahkan kepada pelajar melalui matapelajaran sivik dan kewarganegaraan dapat melahirkan pelajar yang celik sivik? Jika tidak, apakah yang perlu diperbaiki?

Buku ini adalah satu percubaan untuk membincangkan pertanyaan-pertanyaan di atas dan menggunakan pengalaman Jerman sebagai rujukan dan perbandingan untuk memberikan rumusan bagi peningkatan pendidikan sivik dan kewarganegaraan Malaysia.

REFORMASI PENDIDIKAN II: MENINJAU PERANAN KOMPONEN KESUSASTERAAN BAHASA MELAYU DALAM PEMBANGUNAN PEMIKIRAN PELAJAR


tajuk: Reformasi Pendidikan II: Meninjau Peranan Kompenen Kesusasteraan Bahasa Melayu Dalam Pembangunan Pemikiran Pelajar

penulis: Sri Murniati dan Al-Mustaqeem M Radhi

penerbit: Institut Kajian Dasar
dengan kerjasama: Konrad Adenauer Stiftung

harga: RM22

muka surat: 127 halaman

blurb:

Apakah karya-karya sastera yang dominan dibaca para pelajar sekolah menengah kita? Karya-karya klasik atau karya-karya pengarang Melayu moden? Atau karya-karya pengarang muda? Bermutukah karya-karya tersebut? Berkesankah kaedah apresiasi yang digunakan para guru di sekolah untuk mengajar karya-karya tersebut?

Temukan jawapan-jawapan terhadap pertanyaan-pertanyaan tersebut dalam buku kecil Reformasi Pendidikan II: Meninjau Peranan Komponen Kesusasteraan Bahasa Melayu dalam Pembangunan Pemikiran Pelajar ini.

Dengan mengupas pertanyaan-pertanyaan di atas buku ini berusaha meneroka apakah pelajaran Komponen Kesusasteraan yang diwajibkan di sekolah dapat menjawab cabaran membangun pemikiran para pelajar kita. Baca juga wawancara penulis dengan beberapa tokoh, antaranya Sasterawan Negara Prof. Muhammad Hj. Salleh, mengenai Komsas.

REFORMASI PENDIDIKAN DI MALAYSIA: MERENTAS JALAN BARU


tajuk: Reformasi Pendidikan Di Malaysia: Merentas Jalan Baru

penulis: Sri Murniati dan Al-Mustaqeem M Radhi

penerbit: Institut Kajian Dasar
dengan kerjasama: Konrad Adenauer Stiftung

harga: RM22

muka surat: 130 halaman

blurb:

Bagaimanakah keadaan sebenar pendidikan di Malaysia? Benarkah mutu pendidikan negara berada di tahap yang buruk? Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memperbaiki keadaan? Apakah ada jalan lain selain yang pernah kita lalui?

Kebanyakan orang sedar bahawa pendidikan di Malaysia tidak berada di tahap yang menjanjikan, namun jarang ada sesiapa yang dapat menjelaskan keadaan sebenar secara sepadu. Perbincangan seputar sistem pendidikan yang kononnya terlalu berorientasi peperiksaan dan keputusan terbaru kerajaan memansuhkan PMR dan merombak UPSR membuktikan memang ada yang tak kena pada system pendidikan di Malaysia.

Jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan di atas dan banyak lagi pertanyaan berkaitan berselerak di forum dan tulisan di media. Buku ini memanfaatkan tulisan-tulisan di media arus perdana dan alternative serta karya-karya akademik mengenai pendidikan bagi memberi gambaran umum dan bersepadu serta menilai keadaan pendidikan di Malaysia. Selain itu, ia juga membuka ruang untuk pembaca melihat jalan mana yang belum ditempuh Malaysia untuk meningkatkan mutu pendidikan dan barangkali layak dipertimbangkan untuk masa mendatang.

RAHSUAH: SIFAT, SEBAB DAN FUNGSI (TIADA DALAM STOK)



KULIT KERAS

tajuk: Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi

penulis: Syed Hussein Alatas
kata pengantar oleh Syed Farid Alatas

penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

harga: RM35

muka surat: 300 halaman

blurb:

Berhubung dengan penyimpangan moral yang telah begitu lama dikenal manusia seperti rasuah, bukan hanya terdapat kesulitan untuk membanterasnya, namun akhirnya gejala ini menimbulkan hambatan ideologis. Ada pihak yang mengakui peranan positif rasuah dalam pembangunan. Hal ini merupakan kemuncak daripada bangunan rumit rasuah yang memiliki komponen-komponen yan keras, dan sekali gus tak terlihat. Sebagai gejala sosial, rasuah timbul daripada pelbagai sebab, tampil dengan pelbagai sifat dan kemudian menunjukkan fungsi di samping akibat-akibat sosialnya. Faktor ini yang menjadikannya sebagai kajian khusus dalam sosiologi yang menimbulkan perbezaan pandangan.

Buku ini merangkumi semua aspek rasuah menerusi huraian yang terperinci tentang kes-kes sejarah di Romawi kuno, China kuno serta masyarakat Asia moden. Apabila buku ini mengambil sikap tertentu terhadap rasuah, hal ini hanya timbul menerusi pembahasannya sebagai gejala secara menyeluruh, yang dihadapkan dengan masyarakat yang memiliki moraliti dan cita-cita luhur yang dilakukan penulisnya secara telus dan berwibawa.

Penulis buku ini, Profesor Syed Hussein Alatas, ahli sosiologi berwibawa dan dikenali di peringkat antarabangsa, banyak melakukan penyelidikan tentang masalah sosial dan isu berkaitan dengannya. Semasa hayatnya Allahyarham dilantik sebagai Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (1967-1978) dan sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (1988-1991). Antara karya penting Allahyarham termasuklah Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, Modernization and Social Change in Southeast Asia dan Thomas Stamford Raffels: Schemer or Reformer.

MITOS PERIBUMI MALAS (TIADA DALAM STOK)



KULIT KERAS

tajuk: Mitos Peribumi Malas: Imej Orang Jawa, Melayu dan Filipina dalam Kapitalisme Penjajah

penulis: Syed Hussein Alatas
kata pengantar oleh Syed Farid Alatas

penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

harga: RM32

muka surat: 280 halaman

blurb:

Citra tentang kemalasan golongan peribumi yang digembar-gemburkan oleh para penjajah tidak berasas, malah ternyata tanggapan tersebut dimanfaatkan untuk kepentingan ideologi mereka. Perbuatan mereka itu antara lain bertujuaan untuk memberi tempat dari sisi undang-undang amalan penindasan dan ketidakadilan dalam kalangan tenaga kerja peribumi dan mencari alasan penaklukan serta penguasaan Eropah terhadap tanah jajahannya. Malah mereka juga menyelewengkan kenyataan sosial untuk penyebaran ideologi mereka sesuai dengan kepentingan mereka sendiri.

Dalam hal ini, para penulis kolonial melemparkan tuduhan atau hujah ideologi mereka berdasarkan faktor iklim dan lingkungan tropika yang dianggap sebagai punca utama kemalasan golongan peribumi. Pada anggapan mereka, iklim tropika yang lembab dan panas, jangkitan penyakit serta kemewahan para pemimpin mereka telah menyebabkan rakyat sengsara - mereka jadi manusia beku tanpa cita-cita.

Syed Hussein Alatas menyangkal semua anggapan tersebut dan menunjukkan bukti bahawa golongan peribumi masyarakat Indonesia, Malaysia dan Filipina bekerja keras untuk hidup sebagai manusia. Mereka rajin dan mahir dalam bidang masing-masing, tetapi sebagai bangsa yang bermaruah, mereka tidak sedia menjadi alat pengeluaran kaum kapitalis yang mahu melayani mereka sebagai hamba abdi.

Penulis buku ini, Profesor Syed Hussein Alatas, ahli sosiologi berwibawa dan dikenali di peringkat antarabangsa, banyak melakukan penyelidikan tentang masalah sosial dan isu berkaitan dengannya. Semasa hayatnya Allahyarham dilantik sebagai Ketua, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (1967-1978) dan sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (1988-1991). Antara karya penting Allahyarham termasuklah Rasuah, Sifat, Sebab dan Fungsi, Intelektual Masyarakat Membangun, Modernization and Social Change in Southeast Asia dan Thomas Stamford Raffels: Schemer or Reformer.

INTELEKTUAL MASYARAKAT MEMBANGUN (TIADA DALAM STOK)



KULIT KERAS

tajuk: Intelektual Masyarakat Membangun

penulis: Syed Hussein Alatas
kata pengantar oleh Syed Farid Alatas

penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

harga: RM25

muka surat: 159 halaman

blurb:

Intelektual, suatu istilah yang dikelirukan dengan inteligensia, menjadi perkataan biasa dalam kamus ilmu pengetahuan. Intelektual dikaitkan dengan orangnya, sifatnya dan fungsinya. Golongan intelektual ialah golongan yang mengadunkan ilmu pengetahuan dengan semangat intelektual. Sifatnya sebagai intelektual dikaitkan dengan identiti ilmu yang ada pada golongan intelektual, manakala fungsi intelektual dapat dilihat dari aspek bagaimana cara intelektual memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negaranya.

Demikianlah tiga aspek daripada beberapa persoalan dominan yang dianalisis oleh Syed Hussein Alatas. Analisis ini yang memberi tumpuan kepada masyarakat Dunia Ketiga ternyata membuka mata masyarakat tentang ketiga-tiga aspek yang dinyatakan itu, di samping memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menghargai sumbangan intelektual.

Penulisnya Syed Hussein Alatas (1928-2007), semasa hayatnya adalah profesor bidang sosiologi, pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura dan Naib Canselor Universiti Malaya. Antara karya penting Allahyarham termasuklah Rasuah, Sifat, Sebab dan Fungsi, Mitos Peribumi Malas, Modernization and Social Change in Southeast Asia dan Thomas Stamford Raffels: Schemer or Reformer.